bismillahirrahman nir rahim..
dipetik dari Berita Harian Online (sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20081124234532/Article/index_html)
Kepemimpinan amanah rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi
KHALIFAH Ali dalam suratnya yang panjang kepada Malik bin al-Harith al-Ashtar selepas pelantikan Malik sebagai gabenor Mesir pada 658 M. (38H), Khalifah Ali antara lain mengingatkan Malik bahawa pemilihannya untuk memikul amanah memimpin rakyat adalah ujian bagi dirinya. Justeru, Malik diberikan panduan yang begitu terperinci bagi melaksanakan amanah kepemimpinan itu yang merangkumi sikap dan layanan terhadap segenap lapisan rakyat, selain hak dan tanggungjawab mereka; nasihat yang perlu diterima dan dituruti; syarat pemilihan pegawai utama kerajaan, usaha meneladani kejayaan dicapai pemimpin terdahulu; langkah harus diambil dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul berkaitan urusan kepemimpinan dan sebagainya.
Malah, Khalifah Ali juga menegaskan bahawa sekiranya kuasa yang dimiliki oleh Malik itu mendorongnya berasa bangga dan megah, maka beliau harus mengingatkan dirinya mengenai kebesaran dan keagungan Allah swt. Demikian juga kekuasaan Maha Pencipta itu terhadap dirinya kerana kekuasaan seumpama itu tidak sama sekali dimiliki dirinya sendiri. Tindakan itu, menurut Khalifah Ali akan mendorong gabenor dilantik itu supaya sentiasa menilai atau bermuhasabah akan cita-cita serta impian dirinya dan mengekalkan pertimbangan diri yang waras.
Isi kandungan surat yang sarat dengan nasihat, peringatan tegas dan amaran itu menjelaskan bahawa kepemimpinan dan kekuasaan adalah amanah yang membawa bersama-sama dengannya tanggungjawab (taklif) dan pertanggungjawaban (mas'uliyyah). Sehubungan itu, persoalan seperti apakah sifat asasi yang mencirikan amanah; apakah yang diperlukan untuk menunaikan amanah, kepada siapakah seseorang (pemimpin) itu akan dipertanggungjawabkan; begitu berkaitan dengan seseorang pemimpin.
Pada hari ini, kekuasaan tidak lagi dianggap sebagai ujian dan menjadi sesuatu yang menimbulkan kebimbangan serta kegusaran yang besar bagi sebahagian besar manusia. Malah, mereka sebaliknya menganggap kepemimpinan, pengaruh serta kekuasaan sebagai suatu keistimewaan dan pengiktirafan tinggi yang diberikan kepada individu yang memilikinya. Ia tidaklah menghairankan kerana pengaruh dan kekuasaanlah yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang dilimpahi kemewahan serta kemasyhuran.
Oleh itu, ia menjadi rebutan dan cita-cita hidup mereka. Segala usaha dan tumpuan diberikan bagi mendapatkan dan mengekalkan kekuasaan untuk suatu tempoh yang seolah-olah tiada hadnya. Malah, kehilangan kekuasaan serta pengaruh begitu ditakuti dan sekiranya ia berlaku, ia mengundang kedukaan yang tidak terucap. Seolah-olah dunia sudah pun kiamat dan berakhirlah kehidupan mereka di dunia yang fana ini.
Manusia yang begitu taksub dan cinta akan pengaruh serta kekuasaan ini dapat dilihat di mana-mana juga; tanpa mengira rumpun bangsa dan kelompok masyarakat, atau tempatnya, iaitu sama ada yang dekat atau di sekeliling kita, mahupun yang jauh daripada pandangan mata.
Dalam hubungan ini, bekas pemimpin negara jiran, Thaksin Shinawatra, boleh disebut sebagai contoh. Kuasa yang dimiliki mendorong dirinya mengaut keuntungan tidak terbatas demi kepentingan diri dan mengetepikan hak, kebajikan serta kepentingan rakyat.
Walaupun pelbagai tindakan dikenakan terhadapnya seperti penyingkiran daripada jawatan Perdana Menteri, buang negeri dan hukuman penjara (keputusan Mahkamah Agung Thailand pada 21 Oktober 2008 mendapati Thaksin bersalah kerana konflik kepentingan dalam urusan pembelian tanah daripada agensi kerajaan), selain tuduhan kerana pembabitan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, ia sama sekali tidak memberikan pengajaran kepadanya.
Malah, Thaksin berusaha keras dan menggunakan pelbagai helah untuk menyelamatkan segala-gala yang dimilikinya. Thaksin yang dianggap sebagai ahli politik terkaya, termasyhur dan paling berkuasa di negaranya barangkali tidak sama sekali menganggap bahawa tindakannya itu salah kerana alasannya yang pelbagai.
Satu daripadanya berkemungkinan disebabkan sokongan yang diterima daripada penyokongnya yang setia dan tidak menganggap perbuatannya itu sebagai pengkhianatan terhadap hak serta kepentingan mereka sebagai rakyat. Sungguhpun tidak dapat menerima tindakan Thaksin demi mempertahankan kemewahan dan kedudukannya itu, barangkali ia tidaklah begitu menghairankan kita. Namun yang menimbulkan kebencian dan mencalar hati kita ialah jika pemimpin daripada dunia kita sendiri yang bertindak sama seperti bekas pemimpin Thailand itu.
Seperkara yang tidak dapat dipisahkan daripada amanah (kepemimpinan, kedudukan dan kekuasaan) ialah iman. Imanlah yang menerbitkan sifat amanah dalam diri sehingga mendorong individu yang memikul sesuatu amanah, melaksanakan amanah itu dengan sehabis daya serta kudratnya. Iman jugalah yang akan mendorong seseorang pemimpin misalnya, untuk menilai sama ada tindakannya benar atau salah.
Demikian juga dengan matlamat serta tujuannya, sama ada demi maslahah ummah atau sebaliknya hanya menyakiti, memudaratkan dan mengorbankan hak serta kepentingan mereka.
Oleh itu, pemimpin yang dibimbing oleh keimanan, sama sekali tidak akan terkeliru, kebingungan dan hanyut dalam ketaksuban mereka terhadap pengaruh serta kekuasaan sehingga mereka tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Bahkan mereka juga akan mengambil tindakan tegas dan bijaksana dengan berpandukan ilmu, demi mengutamakan maslahah umum dan mengetepikan sama sekali kepentingan peribadi, walaupun memperoleh sokongan yang besar untuk terus mempertahankan kuasa yang dimiliki. Mereka menyedari bahawa amanah besar lagi berat yang dipikul oleh mereka, tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah swt pada hari akhirat kelak.
Kegagalan mereka untuk melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, iltizam serta kesungguhan yang tinggi hanya akan mengakibatkan mereka ketika itu diselubungi penyesalan yang tidak berpenghujung dan tiada pula gunanya lagi.
Penulis ialah Wan Roslili Abd Majid,Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia
2 comments:
salam...kepimpinan bkn satu kesenangan tapi satu tanggungjwb, kepimpinan bkn satu kedudukan tapi satu amanah, kepimpinan juga akan ditanya akhirat kelak... xsalah sy Imam Ibnu Tamiyah mengatakan seseorang pemimpin perlu ada 2 sifat utama iaitu amanah dan hasanah..amanah apa yang dipikul dan baik pengetahuannya pada tugas yang dipegang(pakar dlm bidang tersebut)...syukran ats pengisian, betullah apa yang diperkata.
salam..
alhamdulillah..suatu peringatan utk diri ini jugak~
lgpun kepimpinan bukan terhad pd sekolah,universiti,negeri atau negara saja.. ttp juga kpd diri sendiri dan kluarga.
sy kira kita kenalah pandai memimpin diri sendiri jugak..yg mana kita perlu tahu hala tuju hidup kita yg sebenar2nya yakni m'dpt keredhaan Allah dan menuju akhiratNya kelak.
wallahu ahlam. btlkan mana yg slh~
Post a Comment