Saturday, July 25, 2009
apalah ertinya semua ini sebenarnya...
Bismillahirrahman nir rahim..
Bila Allah menciptakan Nabi Adam as, setelah itu Allah juga menciptakan Hawa. Kerana Allah yang Maha Mengetahui itu sememangnya tahu fitrah manusia tidak inginkan keseorangan.
Justeru, kita di dunia ini.. tiada siapa yang benar-benar ingin berada dalam keadaan keseorangan,tanpa sahabat. Begitu jugalah dalam dakwah dan Islam.. bak lidi yang mudah patah bila dibengkokkan sendirian (sebatang), tapi sungguh payah untuk mematahkan 100 batang lidi yang dikumpulkan sekaligus.
Cemburu
Dari tamatnya Minggu Suai Mesra(MSM) sehingga kini, aku ditempatkan di bilik baru.. bilik berdua. Tapi sehingga kini aku masih tiada berteman sebilik. Bila kawan-kawan lain dapat tahu, ada yang menyatakan bertuahnya aku. Betulkah bertuah?
Kalau dari segi kebebasan di dalam bilik,mungkin ya. Tapi dari segi lain, aku tidak setuju.
Aku keseorangan di sini.. sakitku jua tanpa berteman langsung. Terus-terang aku katakan, cemburu aku melihat sahabiah-sahabiah lain yang mendapat tinggal sebilik mahupun serumah. Ukhwah yang terjalin sungguh ketara. Tapi aku? Keselesaan dan kebebasan di bilik seorang seolah meragut nilai ukhwah yang amat aku ingin rasai.
Benar aku keseorangan, tapi bukan sembarangan aku inginkan teman sebilik. Aku mengharapkan teman sebilik yang sama-sama berjuang di jalan dakwah Islam, agar aku dapat beroleh kekuatan melalui ukhwah dan persahabatan yang terjalin. Sebabnya setahun yang lalu sudah aku lalui, aku seorang saja Muslimah di dalam bilik tanpa ada sahabiah lain..biarpun rapat dengan rakan sebilikku, aku tetap masih merasa kurang kekuatan untuk terus berada di jalan dakwah. Bersyukurlah juga kerana ada sahabiah yang selalu mengajak aku iktikaf/tidur di surau semasa menjelangnya musim peperiksaan, maka aku cukup merasa ukhwah tika itu.
Kita = Molekul Air
Kita sesama Islam perlu untuk mengumpulkan kekuatan akan ikatan ukhwah sesama kita. Kita hendaklah menjadi seperti molekul air yang melekit tetapi kurang melekat. Melekit dalam erti ikatan antara sesama molekul air dan melekat adalah ikatan antara molekul air dengan molekul lain (kain,kaca etc). Molekul air sangat melekit, bermaksud ikatan sesama molekul air itu SANGAT KUAT. Contohnya bila ada setitis air pada permukaan kaca. Kita masih boleh melihat bentuk titisan air itu di atas permukaan kaca tersebut. Begitulah sepatutnya persaudaraan dan persahabatan kita sesama umat Islam. Kita tetap berinteraksi dengan orang bukan Islam (ibarat kaca tadi) dan menjalinkan persahabatan dengan mereka tetapi ukhwah sesama Islam itu perlulah lebih kuat. Sebagai dai'e, bila kita berdepan dengan mad'u pula, hendaklah kita menjadi mad'u kita itu seperti kain. Yang mana kita sebagai air dapat meyerap pada kain tersebut. 'Menyerap' di sini yang aku cuba maksudkan adalah blend-in dengan mad'u tersebut, cuba kita selami bagaimana latar belakangnya dan sebagai agar mudah untuk kita mengetahui cara untuk mendekati seseorang itu lebih kepada Allah SWT.
Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh
Pepatah ini cukup biasa kita dengar,bukan? Aplikasinya,walaubagaimanpun, kurang di dalam masyarakat kita kini. Umat Islam kini juga kurang bersatu. Adakalanya hanya disebabkan oleh fikrah yang berbeza. Tapi ingatlah sahabat-sahabat sekalian, biar berbeza fikrah mahupun mahzab kita.. kita ini tetap dalam satu payung rahmat Allah Azza wa Jalla, yakni ISLAM. Makanya, kenapa perlu ada perselisihan? Kita sepatutnya mencontohi sikap imam-imam 4 mahzab utama yang tetap menghormati sesama sendiri biarpun ada perbezaan pendapat dalam mahzab masing-masing. Contohnya, bila Imam Syafie menjadi imam solat Subuh di Mekah, beliau tidak membaca doa qunut sebagai menghormati Imam Malik (ataupun Imam Hambali. Maaf, terlupa pula.).
Ukhwah itu sangat penting, lebih-lebih lagi dalam perjuangan menegakkan daulah Islamiyyah di zaman jahiliyyah moden ini. Sedangkan Rasulullah SAW juga punya para sahabat yang hebat-hebat belaka yang sentiasa bersama Baginda.
Sahabat sahabiah sekalian, Rasulullah SAW bersabda;
“tidak beriman seseorang diantara kamu, sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri”
Maka, marilah kita sama-sama sebarkan "virus" ukhwah dan kuatkanlah ikatan sesama kita ini untuk terus berjuang di jalan menuju ke Syurga Firdausi. InsyaAllah.
Sudah mahu masuk Maghrib.. idea yang spontan ini telah berjaya membuat aku menaip dengan serius akhirnya. ALhamdulillah. Aku mau bersiap untuk sebarkan virus ukhwah di surau Nur E-Man pula. Hahaha..!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment